Monday, March 2, 2020

Negeri cantik, budaya menarik, itulah kata-kata yang digunakan untuk menggambarkan sebuah negeri yang terletak di pantai timur, Terengganu Darul Iman. Negeri ini bukan sahaja kaya dengan hasil laut, malahan ianya sebuah destinasi pelancongan yang cukup lengkap sekali pakejnya, berbeza dengan negeri-negeri lain di Malaysia.
Pulau-pulaunya, pantai-pantainya yang indah-indah belaka, memang tak akan habis berjalan kalau datang beberapa hari sahaja. Mungkin anda perlukan lebih daripada sebulan untuk merasai kesemua nikmat keindahan alam yang ditawarkan di negeri yang terkenal dengan keropok lekornya ini.
Bukan setakat itu, negeri ini turut kaya dengan warisan tradisional yang dijaga dengan baik sekali. Memang rugi kalau anda dan keluarga tidak datang untuk melihat dengan mata sendiri peninggalan bersejarah yang terdapat di sini.
Yang syoknya lagi, di sini anda dapat melihat bermacam gaya hasil-hasil seni fabrik warisan kebangsaan, mana taknya, di negeri inilah batik dan sutera banyak dihasilkan.
Sungguh menarik sekali tarikan-tarikan yang ditawarkan oleh negeri Terengganu, keunikan alam semula jadinya, budayanya, sejarahnya, malahan makanan tradisionalnya pun menjadi daya tarikan.
Nak memudahkan anda merancang perjalanan apabila ke Terengganu nanti, di sini saya senaraikan 21 tempat menarik di Kuala Terengganu beserta lokasi-lokasi yang perlu anda lawati di negeri ini, kalau tak singgah, teringat-ringat, kalau singgah, terkenang-kenang.

1. Pantai Batu Buruk

Pantai Batu Buruk
Sumber: Pantai Batu Buruk
Terletak di Bandar Kuala Terengganu. Pantai Batu Buruk ini sangat terkenal dengan kemeriahannya. Di sekitar pantai ini juga terdapat banyak tempat makan bukan sahaja restoran-restoran makanan segera, malahan masakan enak hasil laut Terengganu juga banyak.
Kalau anda teringin nak makan ikan celup tepung, keropok, sate ikan dan bermacam lagi, datanglah ke Pantai Batu Buruk. Yang syoknya lagi, anda boleh menaiki kereta kuda yang dihias cantik mengalahkan kereta kuda cerita Cinderella. Tak percaya? Pergi dulu, baru tahu.
📍 Alamat
Alamat: Pantai Batu Buruk, 20400, Terengganu

2. Taman Awam Lagun Kuala Ibai

Taman-Awam-Lagun-Kuala-Ibai
Sumber: Siti Hajar Othman
Pernah dengar tentang Masjid Terapung? Di sinilah terletaknya masjid itu. Taman ini terletak di teluk Sungai Ibai yang memiliki banyak aliran sungai yang menjadi tarikan bagi kaki pancing.
Untuk bermandi-manda juga ini merupakan lokasi yang agak selamat, apa lagi yang difikirkan, bawalah anak-anak anda ke sini. Yang bestnya lagi, ada gerai-gerai yang menjual sate ikan, keropok dan lain-lain yang boleh anda nikmati sambil berseronok bersama keluarga di taman ini.
📍 Alamat
Alamat:  Taman Awam Lagun Kuala Ibai, 21100 Kuala Terengganu

3. Pasar Besar Kedai Payang

Pasar-Besar-Kedai-Payang
Sumber: Beautiful Terengganu Aps
Sebuah pasar yang setaraf pasar seni kalau di Kuala Lumpur ini amat terkenal dalam kalangan pelancong. Kalau anda nak membawa pulang buah tangan hasil Terengganu datanglah ke Pasar Besar Kedai Payang.
Terdapat bermacam produk yang dijual di sini seperti sutera, songket, batik, periuk belanga, makanan hasil laut Terengganu seperti keropok, rempah nasi dagang ikan masin dan banyak lagi.
📍 Alamat
Alamat: 20000, Kuala Terengganu, Malaysia

4. Kompleks Kraf Noor Arfa

Kompleks Kraf Noor Arfa
Sumber: Teratai Homestay
Kompleks Kraf Noor Arfa ini memiliki reka bentuk tradisional Terengganu. Sebuah lokasi yang perlu dilawati untuk mengenali dan melihat dengan lebih dekat lagi keindahan dan keunikan seni batik di Malaysia.
Yang menariknya lagi, anda boleh membeli secara borong batik-batik di sini. Terdapat juga kraftangan lain yang dipamerkan di sini seperti anyaman, ukiran kaca dan wau.
📍 Alamat⌚ Waktu Operasi
Alamat: Kompleks Kraf Noor Arfa (NACC) Lot 4153, Kawasan Perindustrian Cendering, 21080 Kuala Terengganu.

5. Desa Murni

Desa Murni Batik
Sumber: Desa Murni
Sekiranya anda ingin membeli-belah pakaian dengan sakan inilah destinasi yang tepat kalau berada di Terengganu. Di sini terdapat bermacam-macam jenis rekaan kain batik, kain pasang, baju melayu, telekung dan kain pelikat.
Ia juga boleh dikatakan sebagai syurga membeli-belah bagi wanita kerana di sini juga menempatkan beribu-ribu pilihan tudung muslimah kerana Desa Murni juga turut dikenali sebagai pusat tudung muslimah terbesar di pantai timur. Tunggu apa lagi?
📍 Alamat⌚ Waktu Operasi
Alamat: 17888, Jalan Baru Pak Sabah, Kuala Dungun, Terengganu

6. Pusat Budaya Kraf Terengganu

Pusat Budaya Kraf Terengganu
Sumber: PKKM Terengganu
Berada di tempat Perindustrian Chendering, di sini anda bersama keluarga dapat mengenali dengan lebih dekat hasil kraftangan Terengganu seperti ukiran kayu, produk tembaga, pembuatan songket, sarong, sutera dan banyak lagi.
Anda boleh juga membuat tempahan khas produk kraftangan mengikut citarasa anda sendiri. Apa salahnyakan untuk membawa pulang sesuatu yang istimewa sekali-sekala datang ke Terengganu.
📍 Alamat⌚ Waktu Operasi
Alamat: Lot 2195, Kawasan Perindustrian Chendering, 20700 Kuala Terengganu

7. Bazar Warisan

Bazar Warisan
Sumber: Noor Asmah Mohamad
Berdekatan dengan Pasar Payang di Jalan Sultan Zainal Abidin ini adalah sebuah bangunan yang memiliki reka bentuk tradisional Terengganu.
Bazar Warisan mengumpulkan banyak kraftangan dan seni tradisional Terengganu seperti tembaga, songket, batik dan sutera. Anda juga dapat menikmati pemandangan indah muara Sungai Terengganu dari tingkat 3 bangunan ini.
📍 Alamat
Alamat: Bazar Warisan, Jalan Sultan Zainal Abidin

8. Kampung Losong

Kampong Losong
Sumber: Rafi Aakr Umbi
Terletak hanya 10 minit perjalanan dari Bandar Kuala Terengganu adalah Kampung Losong. Kampung Losong ini terkenal sebagai lokasi pilihan ramai untuk membeli makanan tradisional Terengganu yang tak lain tak bukan keropok lekor.
Di sini memang banyak sekali pilihan gerai keropok lekor yang semuanya memang sedap-sedap belaka. Kawasan ini turut diberi pengiktirafan oleh kerajaan negeri sebagai Pusat Perniagaan Keropok Lekor di Terengganu.
Begitu ramai orang yang membeli keropok lekor di sini sehingga dianggarkan sekitar 500 kg keropok lekor yang berjaya dijual dalam sehari apabila tiba musim cuti sekolah. Kawasan jualan keropok lekor ini juga terletak tidak jauh dari Muzium Negeri Terengganu dan Taman Tamadun Islam.
📍 Alamat
Alamat: Kg. Losong Haji Su, 21000 Kuala Terengganu

9. Kampung Bukit Tok Beng

Kampung Bukit Tok Beng
Sumber: Terengganu Times
Terletak di Kuala Nerus, ini merupakan satu lagi destinasi di mana anda dapat membeli keropok lekor. Keropok lekor di sini juga digelar Keropok Lekor Nombor atau Beratur, kenapa?
Ini adalah kerana terlalu ramai orang yang datang untuk membeli keropok lekor semasa musim cuti sehinggakan untuk membeli keropok lekor di sini anda perlu mendapatkan angka giliran terlebih dahulu.
Wah… dahsyat! Ramai yang sanggup beratur kerana keropok lekor di sini sedap dengan isi ikannya yang banyak berbeza dengan tempat lain.
📍 Alamat
Alamat: Kampung Bukit Tok Beng, 21300 Kuala Terengganu

10. Pusat Sains Kreativiti Terengganu

Pusat Sains Kreativiti Terengganu
Sumber: Pusat Sains Kreativiti Terengganu
Nak makan angin sambil mengisi minda? Bawalah anak-anak anda ke Pusat Sains Kreativiti Terengganu. Berdekatan dengan Kampung Laut, Chendering, di sini anak-anak dapat mempelajari pelbagai informasi saintifik yang disampaikan secara kreatif dan menarik sekali.
Terdapat info tentang dinasour, permainan kanak-kanak dan bermacam lagi. Anda juga dapat bergambar di Green Screen dan gambar ini akan disunting untuk memberikan latarbelakang yang anda inginkan seperti Eiffel Tower, di dalam kapal angkasa dan lain-lain. Menarik bukan?
📍 Alamat⌚ Waktu Operasi💲 Harga Tiket
Alamat: Jalan Kampung Laut, Taman Chendering Utama, 21080 Kuala Terengganu

11. Taman Tamadun Islam

Taman Tamandun Islam
Sumber: Taman Tamadun Islam
Destinasi yang wajib dilawati di mana anda dapat melihat rekaan bangunan yang terkenal dalam dunia Islam. Taman Tamadun Islam menampilkan 21 replika bangunan yang dibina disini seperti Masjidil Haram, Masjid Nabawi, Kubah As Sakhrah, Kota Lama Islam Aleppo, Istana Alhambra dan banyak lagi.
Sebuah lokasi yang menarik untuk menambahkan ilmu pengetahuan anak-anak tentang Islam yang bukan sahaja membawa kesejahteraan malahan kemajuan dalam pelbagai aspek.
📍 Alamat⌚ Waktu Operasi
Alamat: Pulau Wan Man, Losong Panglima Perang, 21000 Kuala Terengganu

12. River Cruise TTI

River Cruise Taman Tamadun Islam
Sumber: Taman Tamadun Islam
Salah satu aktiviti yang boleh dilakukan di Taman Tamadun Islam adalah menyusuri sungai di Pulau Wan Man. Dengan menaiki bot, anda dapat menikmati pemandangan indah termasuk Masjid Kristal dan Taj Mahal dari sudut yang indah sekali.
Masa yang diambil dalam perjalanan menaiki bot cruising ini adalah sekitar 45 minit. Antara destinasi yang dilalui oleh bot dari TTI ini adalah Muzium Negeri, Pulau Sekati, Pulau Haji Siah, Pulau Api, Seberang Takir, Pulau Duyung, Pulau Warisan dan banyak lagi.
📍 Alamat⌚ Waktu Operasi💲 Harga Tiket
Alamat: Pulau Wan Man, Losong Panglima Perang, 21000 Kuala Terengganu

13. Masjid Kristal

Masjid Kristal Terengganu
Sumber: Pesan Bonda
Masjid yang terletak di Pulau Wan Man ini memakan bajet sekitar RM23 juta untuk dibina menggunakan hanya besi, kristal dan kaca. Sesuai dengan bajet yang dikeluarkan, masjid ini memiliki reka bentuk yang unik yang terkenal di seluruh dunia.
Waktu terbaik untuk menangkap gambar masjid ini adalah pada waktu matahari terbenam kerana cahaya matahari yang cantik pada waktu itu akan terpancar pada sekeliling masjid ini yang dibuat daripada material yang memantulkan cahaya.
📍 Alamat
Alamat: Pulau Wan Man, 21000 Kuala Terengganu

14. Bukit Besar

Bukit Besar Terengganu
Sumber: Skyscraper City
Di sinilah terletaknya tulisan ikonik di Terengganu iaitu ‘Allah Peliharakanlah Terengganu.’ Ramai yang menjadikan Bukit Besar sebagai destinasi untuk berekreasi dengan cara berjalan mendaki ke atas bukit ini untuk menikmati keindahan Terengganu dari puncaknya.
Anda dapat melihat Masjid Kristal, Taman Tamadun Islam dan kecantikan Sungai Terengganu dari sini.

15. Istana Maziah

Istana Maziah
Sumber: Wan Ashraf
Istana Maziah merupakan tempat rasmi bagi Sultan Terengganu, lokasinya adalah di kaki Bukit Puteri. Batu asas istana ini diletakkan pada tahun 1895.
Di hadapan istana ini terdapat Dataran Maziah yang merupakan taman mini yang dihias dengan indah. Bawalah keluarga anda ke sini untuk melihat keindahan istana ini dengan lebih dekat lagi.
📍 Alamat
Alamat: Jalan Sultan Zainal Abidin, Kampung Panglima, 20000 Kuala Terengganu

16. Pantai Pandak

Pantai Pandak
Sumber: Azmizi Omar
Pantai ini terletak dalam kawasan perkampungan di jalan utama Marang-Terengganu. Nama lain bagi pantai ini adalah Pantai Chendering. Kalau anda suka bergambar juga ini merupakan lokasi yang tepat sebab permukaannya yang berbatu membuatkan gambar kelihatan menarik.
Cuma anda perlu berhati-hati kerana pantai ini memiliki pusaran air yang agak kuat, oleh itu, agak tidak sesuai untuk anda bermandi-manda. Kalau dah puas bergambar di sini, singgahlah pula ke warung celup tepung yang terdapat di pantai ini.
📍 Alamat
Alamat: Pantai Pandak, 21080 Kuala Terengganu

17. Masjid Abidin (Masjid Putih)

Masjid Putih Kuala Terengganu
Sumber: Pantai Timur Sabahan
Masjid Abidin yang juga digelar sebagai Masjid Besar atau Masjid Putih ini merupakan masjid yang tertua di Terengganu yang mula dibina pada tahun 1793 oleh Sultan Zainal Abidin II.
Bangunan yang asalnya daripada kayu ini telah diubah kepada bangunan batu pada tahun 1852 dan banyak lagi penambahbaikan yang telah dilaksanakan sehingga ia menjadi sebuah masjid yang besar. Berhampiran masjid ini terdapat Makam DiRaja yang lama.
📍 Alamat
Alamat: Jalan Masjid Abidin, 20000 Kuala Terengganu

18. Bot Penambang di Dataran Shahbandar

Bot Penambang Dataran Shah Bandar
Apa lagi cara terbaik nak merasa tiupan angin sepoi-sepoi di Terengganu kalau bukan dengan menaiki bot?
Anda boleh menaiki bot ini untuk ke Seberang Takir dan melihat perkampungan nelayan ini dengan lebih dekat lagi dan kalau dah puas berjalan, boleh pekena kopi di kedai kopi yang terdapat di sini.
📍 Alamat
Alamat: Jeti Bot Penambang Shahbandar, Jalan Sultan Zainal Abidin, 20200 Kuala Terengganu

19. Beca di Pasar Payang

Beca Di Pasar Payang
Sumber: Eddy Alias
Beca pun ada ya di Terengganu, bukan di Melaka sahaja. Sekiranya anda berjalan di sekitar Pasar Besar Payang anda dapat melihat pak cik-pak cik beca mengayuh basikal beroda tiga ini.
Untuk sempurnakan pengalaman anda sewaktu berada di Terengganu, carilah mana-mana pak cik beca untuk membawa anda berpusing-pusing sekitar Terengganu. Janganlah paksa pak cik tu mengayuh jauh sangat, kesian pula dia.
📍 Alamat
Alamat: Pasar Payang, 20000, Kuala Terengganu

20. Pusat Akuatik MBKT

Pusat Akuatik Kuala Terengganu
Sumber: SOM Terengganu
Terletak di Pantai Batu Buruk adalah kolam renang yang sesuai untuk anda datang bersama keluarga untuk bermandi-manda, kolam ini juga lengkap dengan bumbung. Bolehlah anda berenang sepuas hati tanpa perlu risau memikirkan cuaca.
📍 Alamat
Alamat: Pusat Akuatik Majlis Bandaraya Batu Buruk,20400 Kuala Terengganu

21. Bukit Panorama

Bukit Panorama Kuala Terengganu
Sumber: Yusran Hashim
Seperti namanya, dari puncak bukit ini anda dapat menikmati keindahan panorama sekitar Terengganu sambil menikmati masakan enak di kafe yang terkenal dengan masakan panas dan baratnya.
Nak bergambar gempak bersama orang tersayang? Ajaklah mereka ke sini. Pasti anda puas hati punyalah dengan pemandangan dari bukit ni.
📍 Alamat
Alamat: Bukit Pak Apil, Kuala Terengganu

No comments:

Post a Comment