Suka makan buah mangga? Kalau anda nak tahu, di negeri Perlis inilah terletaknya ladang-ladang mangga Harum Manis yang merupakan mangga yang boleh dikatakan paling sedap, wangi pula tu. Mangga saja ke yang menarik di Perlis ni? Tidak sama sekali. Jangan pandang sebelah mata negeri yang terkecil di Malaysia ni, namanya, Perlis Indera Kayangan, sudah cukup mencerminkan betapa walaupun ianya kecil, patut diberikan respek sebab punyalah banyak tarikan yang ditawarkannya, unik-unik pula tu.
Tambahan lagi dengan tempat membeli-belah bebas cukai yang terdapat di kawasan sempadan, memang rugilah kalau tak datang ke sini kalau ada peluang. Nak tahu apa yang ditawarkan negeri indera kayangan ini dengan lebih spesifik lagi? Teruskan membaca senarai tempat menarik di Perlis ini.
1. Masjid Terapung Al-Hussain

Masjid Terapung Al-Hussain ini begitu indah, menyejukkan mata memandang. Dibina dengan kos RM12 juta, ia bukanlah masjid yang calang-calang, inilah masjid yang ikonik yang terletak di Perlis.
Kedudukannya yang mengadap Selat Melaka menjadikan ia 100 kali lebih indah terutama sekali apabila tibanya waktu senja, matahari terbenam menaikkan lagi seri bangunan masjid yang tidak bercat ini.
Untuk pengetahuan anda, masjid ini menggunakan bahan seperti marmar, kuartz, batu granit, pebbles dan coral sahaja dalam pembinaannya. Unik dan menakjubkan, lihat di depan mata anda sendiri, sukar untuk diungkapkan dengan kata-kata.
📍 Alamat
Alamat: Masjid Terapung Al-Hussain, 1, Persiaran Putra Timur, 02000 Kuala Perlis, Perlis
2. Taman Rekreasi Bukit Ayer

Hanya 12 km dari Kangar, Taman Rekreasi Bukit Ayer merupakan sebuah tarikan alam semula jadi yang menyegarkan dengan rimbunan pokok yang menghijau dan air terjun yang mengalir jernih.
Berkhemah dan berkelah adalah dua aktiviti yang menyeronokkan untuk dilakukan bersama keluarga di sini. Tapak perkhemahan yang boleh menampung 100 orang yang disediakan di sini lengkap dengan sumber air bersih dan tempat memasak.
Bukan itu sahaja, di hilir sungai ini terdapat kolam mandi untuk anda bermandi-manda bersama keluarga. Kemudahan lain yang disediakan di taman rekreasi ini adalah taman permainan kanak-kanak, surau, gerai makanan, pondok santai dan tandas. Semuanya ada untuk kemudahan anda sekeluarga.
📍 Alamat
Alamat: Taman Rekreasi Bukit Ayer, Sungai Batu Pahat, Perlis
3. Taman Rekreasi Pengkalan Asam

Taman Rekreasi Pengkalan Asam di Kangar ini menyediakan trek jogging yang terletak di sekitar sungai, selalunya tasik kan? Kali ini di sekitar sebatang sungai yang indah, dapatlah anda menenangkan fikiran melihat air yang tenang sambil bersenam. Selain itu, anda juga boleh menggunakan semua kemudahan outdoor gym yang disediakan untuk aktiviti senaman ang lebih menyeluruh.
Anak-anak anda boleh berseronok di taman permainan ataupun di gazebo yang disediakan. Bukan sahaja seronok untuk beriadah di sini bersama keluarga, lokasi ini juga menarik untuk anda bergambar, terutama sekali di jambatan gantung yang disediakan. Kemudahan lain yang terdapat di sini adalah tandas, wakaf dan surau.
📍 Alamat
Alamat: Taman Rekreasi Pengkalan Asam, Kangar
4. Pasar Wang Kelian

Terletak bersempadan dengan Wang Prachan, Thailand, ialah Pasar Wang Kelian yang juga dikenali sebagai Nat Wang Kelian dalam kalangan penduduk setempat. Pasar ini walaupun dibuka setiap hari, pada hujung minggu lebih banyak gerai yang dibuka.
Cuma yang paling best adalah jika anda datang pada hari Ahad, pelancong tempatan tak payah bersusah payah membawa dokumen perjalanan pada hari ini.
Antara barangan yang dijual di Pasar Wang Kelian ini adalah basikal, peralatan elektrik, beg galas, pin tudung, tudung, periuk belanga, alatan berkebun dan bermacam lagilah. Kalau anda jenis yang berminda bisnes, boleh borong barang-barang ini untuk dijual di tempat lain, kerana harga yang ditawarkan boleh terbeliak biji mata.
📍 Alamat⌚ Waktu Operasi
Alamat: Pasar Wang Kelian, Wang Kelian, 02200 Kaki Bukit, Perlis
5. Taman Anggur Perlis

Macam pelik je kan anggur boleh ditanam di Malaysia? Tapi ya memang wujud, dan ianya berada di Kangar, Perlis. Terletak berdekatan dengan Taman Herba dan Taman Ular, kalau anda sudah ke sini, jangan lupa untuk ke tempat lain yang menarik di sekitarnya.
Sekiranya anda ke Taman Anggur Perlis, anda dapat melihat sendiri rupa sebuah ladang anggur yang hanya boleh didapati di negara lain, memang susah nak memastikan tanaman anggur ini menjadi terutama di negara Malaysia.
Disebabkan terdapat kesukaran dalam penyelenggaraannya, Taman Anggur ini ditutup sementara. Harap-harap dapatlah kita melihat ia dibuka kembali di masa hadapan, dapatlah makan anggur fresh-fresh!
📍 Alamat
Alamat: Taman Anggur Perlis, Pertanian Bukit Temiang, Kangar
6. Taman Bunga Kertas Tuanku Lailatul Shahreen

Di mana lagi lokasi yang lebih menarik untuk bergambar selain daripada berlatar belakangkan bunga-bungaan mekar penuh warna-warni? Kalau anda tercari-cari di mana nak ambil gambar bersama keluarga yang boleh diframekan, apa kata kalau ke Taman Bunga Kertas Tuanku Laitlatul Shahreen.
Anda sekeluarga bukan sahaja disajikan dengan pemandangan persis di taman bunga yang terdapat di luar negara, turut dapat dilihat dari kawasan taman bunga ini adalah kawasan bukit. Bayangkanlah keindahan yang sempurna ini.
📍 Alamat Taman Bunga Kertas, Tuanku Lailatul Shahreen, Kangar, Perlis
7. Kuala Perlis

Ingat Kuala Perlis, ingat laksanya yang bukan main sedap dan terkenal di Malaysia ni. Dah puas makan laksa, anda sekeluarga boleh terus ke jeti Pulau Langkawi yang mana anda boleh membawa kereta menaiki feri sekali untuk ke Pulau Langkawi.
Balik dari Pulau Langkawi nanti singgah pula ke restoran-restoran makanan laut yang banyak terdapat Kuala Perlis ni, mana taknya, sebagai pekan nelayan, memang banyaklah hasil lautnya. Rugi tak cuba makanan lautnya yang segar-segar di sini.
📍 Alamat
Alamat: Kuala Perlis, Perlis
8. Ladang Nipah Kipli

Ladang Nipah Kipli memberikan anda pengalaman indah di desa, bukan setakat pemandangan ladangnya yang menarik untuk dilihat, malahan, anda boleh membeli makanan yang dijual di restoran yang terdapat di sini, lokasinya pun di ladang nipah kan, sah-sah lah ada air nira nipah yang dibuat segar untuk anda nikmati. Sambil-sambil minum air nipah yang penuh dengan khasiat tu, jangan lupa cuba ais kacangnya juga, memang sedap!
Dah puas menjamu selera, anda boleh bersantai di pondok-pondok ataupun buaian-buaian yang terletak di celah-celah deretan pokok nipah. Anda sekeluarga dapat menenangkan fikiran sambil menikmati pemandangan indah sekitar ladang.
Kalau tak cukup sehari bersantai di sini, apa kata kalau anda berkhemah, kerana di sini juga disediakan tapak perkhemahan. Air nira, buaian, pondok, ladang, baru betul-betul kampung!
📍 Alamat Ladang Nipah Kipli, Kampong Tanah Timbul, Sanglang, Kuala Perlis
9. Pusat Ekuin Perlis

Siapa tak suka melihat kuda, haiwan yang sinonim dengan orang kaya ini boleh anda dekati dengan melawat Pusat Ekuin Perlis. Bukan setakat itu, pemandangan yang menghijau dan cukup indah di kawasan sekitar menjadikan kawasan ini terkenal untuk penggambaran perkahwinan, mesti anda ingin abadikan foto keluarga anda di sini juga kan?
📍 Alamat
Alamat: Pusat Ekuin Perlis
10. Taman Ular & Reptilia Perlis

Sudahlah tiket masuknya murah, banyak pula tu spesies ular yang dipamerkan di sini. Lebih daripada 150 ekor ular yang terdiri daripada 34 spesies yang ada di sini. Menakutkan tapi dalam masa yang sama satu pengalaman yang pasti tidak dapat dilupakan bila dapat mendekati haiwan berbisa ini.
Tapi jangan risau, untuk ular yang boleh didekati, telah pun dijinakkan. Apa gunanya kalau datang tapi tak bergambar dengan ular mengelilingi anda bukan?
Di sini anda mendapat peluang emas ini dengan bayaran hanya RM1, barulah berbaloi kedatangan anda sekeluarga ke Taman Ular & Reptilia Perlis ini. Lepas tangkap gambar tu, jangan lupa untuk melihat persembahan ular, juga hanya RM1.
Dah puas tengok ular, anda boleh juga melihat galeri haiwan lain seperti burung, arnab, hamster, kura-kura, kala jengking, iguana dan banyak lagi yang terdapat di sini. Dahlah murah, banyak pula haiwan yang dipamerkan, tak perlu fikir dua kali lagi.
📍 Alamat⌚ Waktu Operasi💲 Harga Tiket
Alamat: Sungai Batu Pahat, 01000 Kangar
No comments:
Post a Comment