Tak terfikir lagi nak ke mana musim cuti sekolah hujung tahun ni? Apa kata kalau anda sekeluarga beramai-ramai bercuti ke negeri Kedah, negeri Jelapang Padi, negeri yang aktif dengan aktiviti pertaniannya ini.
Bagi anda yang dah masak dengan kehidupan di kota, datanglah ke negeri di utara semenanjung Malaysia ini untuk melegakan minda dan badan.
Suasana desa yang indah, sawah padi yang terbentang luas dan alam semulajadi yang tidak terganggu oleh sebarang pencemaran ini dapat memberikan anda sekeluarga pengalaman percutian yang mendamaikan jiwa.
Tapi tunggu dulu! Sebelum ke sini, MaiSinggah nak habaq awai-awai mana hangpa patut pi dah sampai Kedah nanti. Baca senarai 22 tempat menarik di Kedah sampai habis na, baru tahu mana yang sesuai dengan jiwa, atau lawat saja semuanya!
1. Menara Alor Setar

Tiada lagi idea yang lebih baik daripada memulakan perjalanan anda di negeri Jelapang Padi ini selain daripada menyinggahi ibu negeri Kedah sendiri, Alor Setar atau kata orang Kedah sendiri, ‘Aloq Staq’. Dah sampai di sini, tempat pertama yang mesti anda lawati adalah Menara Alor Setar.
Bukan di KL sahaja yang ada menara tertinggi ya kerana sebenarnya Menara Alor Setar ini adalah menara telekomunikasi yang ke-2 tertinggi di Malaysia. Menara yang berketinggian 165.5 meter ini menempatkan Restoran Berputar Seri Angkasa di aras yang berketinggian 94 meter, dan dek pemerhatian pada ketinggian 88 meter ataupun 289 kaki.
Kalau anda nak tahu, di sinilah salah satu lokasi yang digunakan untuk melihat anak bulan Islam. Tarikan lain yang terdapat di menara ini adalah panggung yang menjadi tempat pementasan pelbagai jenis pertunjukan kesenian, forum dan lain-lain.
Alamat: Menara Alor Setar. Lot 99, Lebuhraya Darul Aman, 05100 Alor Setar, Kedah Darul Aman
2. Muzium Padi

Terletak di Gunung Keriang, Muzium Padi Kedah ini hanyalah 8.84 km sahaja daripada Menara Alor Setar dan dekat sekali dengan Masjid Zahir, antara masjid tertua di Malaysia, nanti kita cerita tentang masjid ini.
Muzium Padi ini merupakan muzium padi yang ke-4 yang dibuka di dunia selepas Jepun, Jerman dan Filipina. Sebagai makanan ruji masyarakat Malaysia, penting untuk kita tahu apa sebenarnya kisah di sebalik padi ini dari segi sejarahnya dan prosesnya sebelum menjadi nasi di pinggan.
Agak menarik untuk diketahui, balik sahaja dari Muzium Padi ini, mesti anda takkan membazir walau sebiji pun kerana dari sinilah anda terutamanya anak-anak anda akan menyedari bahawa “sebiji nasi ibarat setitik peluh petani,” (macam pernah dengar je kan).
Kalau anda menuju ke tingkat paling atas muzium ini anda dapat melihat galeri lukisan yang mana anda boleh duduk di kerusi yang terletak di tengah, kerusi ini akan membuat putaran 360 darjah secara perlahan untuk anda menikmati lukisan pemandangan sawah padi dan kawasan perkampungan yang terdapat di sekeliling sawah ini yang kelihatan agak realistik.
Alamat: Muzium Padi, Lot 798 Jalan Gunung Keriang, 06570 Alor Setar, Kedah Darul Aman
3. Pulau Songsong

Pulau Songsong juga merupakan satu lagi pulau yang tidak berpenghuni dan tiada sebarang penginapan atau kemudahan yang disediakan di sini. Tapi sekiranya anda ingin berkhemah di sini, perlulah pastikan semua bekalan anda lengkap dan cukup.
Agak seronok untuk meluangkan masa di sini kerana alam sekitarnya terpelihara dengan baik sekali. Kawasan pantai yang luas di pulau ini turut ditumbuhi dengan pokok-pokok kelapa, belukar kecil dan bunga. Latar belakang pulau ini pula adalah kawasan hutan yang mekar dengan pokok-pokok yang menghijau.
Untuk ke Pulau Songsong terdapat beberapa buah jeti yang menyediakan bot, iaitu dari Jeti Sungai Udang, Jeti Kuala Dulang dan Jeti Tanjung Dawai. Perjalanan ke pulau ini hanyalah dalam 15 minit sahaja, sempatlah anda sekeluarga menikmati deru angin laut yang segar sepanjang perjalanan ke pulau.
Alamat: Pulau Song Song, Yan, Kedah
4. Pekan Rabu

Pekan Rabu yang terletak di Ukir Mall ini hanyalah 100 m sahaja dari Menara Alor Setar. Apa lagi, alang-alang singgah saja pekan ni, apa gunanya bercuti tanpa merasa makanan tempatannya.
Di Pekan Rabu inilah anda dapat melihat pelbagai makanan tradisional Melayu dijual seperti kuah rojak, ikan pekasam, dodol durian, garam belacan, malahan, kuih bahulu yang panas-panas pun ada dijual di sini.
Di samping makanan, barangan lain yang turut dijual di sini adalah seperti pakaian, dan ubat-ubatan tradisional. Yang penting, gerai-gerai di sini kebanyakannya mudah untuk anda tawar-menawar.
Alamat: Ukir Mall (Pekan Rabu), Jalan Sultan Badlishah, Alor Malai, 05000 Alor Setar, Kedah
5. Rumah Kelahiran Mahathir Mohammad

Siapa tak kenal Bapa Pemodenan Malaysia, Tun Mahathir Mohammad yang terkenal dan dihormati di seantero dunia. Beliau telah dilahirkan di sebuah rumah kayu yang terletak bersebelahan dengan kilang ais di Seberang Perak. Sekiranya anda sekeluarga berkesempatan singgah ke rumah ini, anda dapat meihat gambar-gambar semasa remaja dan album ahli keluarga beliau.
Bukan itu sahaja, perabot-perabot asal rumah ini seperti almari, meja, katil, kerusi, meja solek dan perkakas dapur juga masih terjaga dengan baik.
Lawatan ke rumah bekas Perdana Menteri yang telah memberi sumbangan yang besar kepada negara ini dapat memberi motivasi kepada anak-anak untuk melakukan yang terbaik dalam menuntut ilmu dan mengikuti jejak langkah beliau.
Alamat: 18 Lorong Kilang Ais | Tepi Jalan Pegawai, Seberang Perak, Alor Setar 05050
6. Pusat Sains Negara Wilayah Utara

Kalau anda nak tahu, sebenarnya Pusat Sains Negara Wilayah Utara ini merupakan cawangan pertama Pusat Sains Negara. Di sini anak-anak anda dapat mempelajari pelbagai info saintifik dengan penuh keseronokan kerana bahan-bahan pameran yang terdapat di pusat sains ini agak interaktif.
Kalau anda membawa anak-anak yang kecil ke sini, anda boleh bacakan informasi yang jelas diletakkan di setiap bahagian pameran. Mesti anak-anak seronok punyalah! Kan bagus percutian yang penuh dengan pengisian bermanfaat sebegini.
Alamat: Pusat Sains Negara Cawangan Wilayah Utara, Gunung Keriang, 06500 Alor Setar, Kedah
7. Rumah Merdeka

Rumah Merdeka ini merupakan rumah yang dimiliki oleh Perdana Menteri pertama Malaysia, YAB Tunku Abdul Rahman.
Rumah ini terletak betul-betul di belakang Hotel Royale, Jalan Putera. Perabot-perabot rumah ini masih dijaga dengan baik dan diletakkan di tempat yang sama sepertimana kedudukannya pada zaman kehidupan Tunku.
Seperti namanya, Rumah Merdeka, di sinilah terukirnya pelbagai peristiwa bersejarah negara Malaysia. Antaranya adalah kerana di sini Tunku banyak melakukan perbincangan bersama rakan-rakannya dalam usaha untuk mendapatkan kemerdekaan negara tercinta dan di sini jugalah Tunku menerima lawatan Misi Muhibah dari Jakarta untuk menamatkan Konfrontasi Malaysia-Indonesia.
Di belakang rumah ini terdapat Sungai Anak Bukit. Di sungai inilah Tunku sering menaiki motor botnya untuk menenangkan fikiran. Kalau anda melawat Rumah Merdeka, anda dapat melihat bot ini dipamerkan di halaman rumah.
Alamat: Jalan Putra, 05100, Alor Setar, Kedah, Alor Setar 05100
8. Balai Besar

Balai Besar yang memiliki reka bentuk rumah tradisional Melayu yang berbumbung panjang ini telah dibina pada tahun 1896 oleh Sultan Abdul Hamid Halim Shah selepas bangunan asalnya dimusnahkan dalam peperangan dengan angkatan Bugis pada tahun 1770 dan seterusnya Thai pada tahun 1821.
Agak banyak dugaan yang dilalui bangunan ini, namun ia tetap kukuh mengekalkan fungsi utamanya sejak dari awal ia dibina iaitu sebagai tempat untuk menjalankan majlis rasmi Sultan Kedah.
Jangan lepaskan peluang untuk melawati Balai Besar kerana anda dapat melihat sendiri kehalusan seni pertukangan kayu masyarakat Melayu yang terukir indah pada bangunan yang dibina menggunakan kayu cengal emas ini.
Alamat: Balai Besar, Bandar Alor Setar, 05000
9. Air Terjun Batu Hampar

Air Terjun Batu Hampar ini agak kurang dikunjungi berbanding dengan Air Terjun Titi Hayun, bukan kerana ia kurang menarik, tetapi sebab ia terletak lebih jauh di dalam hutan di bahagian kaki gunung.
Tapi, kalau anda dapat sampai ke kawasan air terjun ini, ibarat tinggal di pulau peribadilah gayanya, suasana sunyi dan tenang tanpa gangguan. Untunglah kalau anda memiliki stamina yang tinggi, dapatlah merasa pengalaman yang istimewa yang ditawarkan alam penuh kehijauan ini.
Alamat: Taman Rekreasi Batu Hampar, Air Puteh, Serdang, Kedah
10. Balai Nobat

Pada tahun 1735, tahun pembukaannya Bandar Alor Setar, antara bangunan pertama yang siap dibina adalah Masjid Negeri, Balai Besar, Istana Kota Setar dan Balai Nobat ini.
Namun, bangunan ini telah diperbaharui semula pada tahun 1906 oleh Sultan Kedah yang ke-26, Sultan Abdul Hamid Halim Shah dengan rekabentuk yang sama dengan bangunan asal namun menggunakan batu dan logam.
Fungsi Balai Nobat ini adalah sebagai tempat penyimpanan alat-alat muzik Nobat DiRaja yang terdiri daripada tiga rebana besar, dua rebana yang bersaiz kecil, satu serunai dan satu gong.
Muzik Nobat ini hanyalah dimainkan pada majlis-majlis tertentu sahaja iaitu pada hari perkahwinan, pertabalan dan persemadian DiRaja. Sekiranya anda melawat Balai Nobat anda dapat melihat dengan lebih dekat lagi Nobat Kedah yang dikatakan yang tertua di negara ini.
Alamat: Balai Nobat, Bandar Alor Setar, 05000 Alor Setar, Kedah
11. Galeri Sultan Abdul Halim

Pada asalnya bangunan Galeri Sultan Abdul Halim ini digunakan sebagai Mahkamah Tinggi Alor Setar, namun pada tahun 2007 ia diubah sebagai galeri yang mempamerkan hampir 2000 koleksi peribadi Sultan Kedah termasuklah pakaian istana, hiasan istana, dokumen rasmi, dan carta keturunan keluarga DiRaja Kedah dari tahun 1136 hingga sekarang. Bangunan yang memiliki seni bina kolonial ini terletak hanya bersebelahan dengan Balai Nobat.
Alamat: Galeri Sultan Abdul Halim, Jln Sultan Muhammad Jiwa, Alor Setar
12. Balai Seni Negeri

Balai Seni Negeri ini mula dibina pada tahun 1893 dan telah digunakan sebagai Mahkamah Besar pada tahun 1912. Balai Seni Negeri ini dikatakan sebagai bangunan kerajaan moden yang paling awal yang telah dibina di bandar Alor Setar.
Bangunan ini mula dirasmikan sebagai Balai Seni Negeri pada tahun 1983 sempena sambutan Perayaan Jubli Perak semasa di bawah pemerintahan KDYMM Tunku Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (1985-1983).
Dihimpunkan di Balai Seni ini adalah koleksi karya seni lukis, ukiran kayu dan khat oleh anak tempatan Kedah sendiri yang dihasilkan oleh golongan muda sehinggalah pengkarya veteran.
Alamat: Balai Seni Negeri Kedah, Medan Bandar, Jalan Raja, 05100 Alor Setar, Kedah Darul Aman.
13. Muzium Negeri Kedah

Pada asalnya Muzium Negeri Kedah ini dikenali sebagai Muzium Sejarah Kedah pada tahun 1957 dan terletak di tingkat bawah Balai Besar, namun, setelah banyak pertambahan koleksi berlaku pada tahun 1961, muzium ini telah dipindahkan ke bangunannya sendiri yang terletak di Lebuhraya Darul Aman dan pada tahun 1964 ditukarkan nama kepada Muzium Negeri Kedah.
Pada tahun 1997, bangunan baru telah dibina lagi untuk menempatkan muzium ini yang memiliki 10 bahagian pameran berbeza seperti Dewan Sejarah, Dewan Kebudayaan, Dewan Manuskrip, Dewan Seni Kraf, Dewan Tekstil serta Sudut Bahasa dan Sastera.
Alamat: Lembaga Muzium Negeri Kedah Darul Aman, Lebuhraya Darul Aman, Bakar Bata 05100 Alor Setar, Kedah Darul Aman.
14. Kota Kuala Kedah

Sebuah kota yang menyimpan sejarah yang penting di negeri Kedah, Kota Kuala Kedah ini dibina pada tahun 1771 dan selesai dibina pada tahun 1780.
Binaan kota ini adalah untuk dijadikan benteng pertahanan Kedah daripada ancaman pihak musuh terutamanya Siam yang datang dari arah laut. Kota yang dibina menggunakan kayu bakau, buluh dan tanah liat ini telah direkabentuk oleh Hafiz Sab yang merupakan Datuk Maharaja Kadi pada ketika itu.
Di sini juga terletaknya Muzium Kota Kuala Kedah yang memiliki ruang pameran yang terbahagi kepada enam bahagian iaitu bahagian Pengenalan, Sejarah, Fungsi Kota Kuala Kedah, Zaman British, Zaman Jepun dan Zaman Selepas Merdeka.
Kalau anda singgah ke muzium ini anda dapat melihat 60 koleksi artifak arkeologi yang termasuk batu bata asal kota ini, seramik, 13 buah peluru meriam dan 6 buah meriam yang dihasilkan pihak Inggeris yang sudah berusia lebih daripada 100 tahun.
Sangat banyak yang dapat dilihat di pameran ini, bagi anda yang mencintai sejarah dan ingin memupuk semangat kecintaan kepada sejarah dalam diri anak-anak, datanglah ke sini.
Alamat: Muzium Kota Kuala Kedah, Kampung Seberang Kota 06600 Kuala Kedah, Kedah Darul Aman
15. Tree Top Walk Sungai Sedim

Terletak di Taman Rekreasi Sungai Sedim adalah Tree Top Walk Sungai Sedim yang merupakan laluan titian gantung yang terpanjang di dunia. Titian gantung yang berkepanjangan 1.5 km ini memang tak sesuai bagi sesiapa yang gayat.
Tapi bagi yang berani, dapatlah anda menikmati pemanadangan flora dan fauna yang indah dari sudut yang tinggi.
Dari titian ini anda dapat melihat burung yang berterbangan di sekitar hutan dengan lebih dekat lagi. Pegang betul-betul kamera anda di atas titian ni, menangis tak berlagu kalau gajet kesayangan anda terjatuh dari titian yang tinggi ni.
Alamat: The Tree Top Walk Sungai Sedim, Kampung Sedim Karangan, Kedah, 09000, Kulim, Kedah
16. Taman Rekreasi Sungai Sedim

Taman Rekreasi Sungai Sedim ini terletak di Kampung Sedim. Untuk pengetahuan anda, di sinilah terdapatnya beberapa tarikan menarik seperti Sungai Sedim sendiri yang seronok untuk dijadikan tempat bermandi-manda dan banyak aktiviti air yang lain serta Sedim Rainforest Resort yang merupakan penginapan yang tidak sepi dari bunyi air sungai dan unggas yang berterbangan.
Sekiranya anda ke sini, banyak aktiviti menarik yang boleh dirancang untuk dilakukan bersama keluarga seperti peerkhemahan, meredah hutan, flying fox, berkelah, rock climbing, abseiling, water rafting, treasure hunt dan banyak lagi.
Alamat: Sungai Sedim Recreational Forest, Kulim
17. Hutan Lipur Ulu Paip

Hutan Lipur Ulu Paip ini terletak di dalam Hutan Simpan Gunung Bungsu. Di hutan lipur ini anda dapat melihat air sungai dan beberapa buah kolam yang terbentuk secara semulajadi yang seronok untuk anda bermandi-manda bersama keluarga.
Aktiviti lain yang boleh dibuat di sini adalah berkelah dan berkhemah sambil ditemani bunyi alam semulajadi yang menenangkan jiwa. Salah satu cara yang terbaik untuk menghabiskan hari cuti bukan?
Alamat: Hutan Lipur Ulu Paip, Jl. Kulim-Mahang, 09700 Karangan, Kedah
18. Gunung Bintang

Gunung Bintang merupakan titik sempadan antara negeri Kedah dan Perak. Gunung ini juga merupakan sebahagian daripada Banjaran Bintang yang menganjur dari Selatan Thailand serta gunung yang tertinggi yang terletak di banjaran ini.
Sekiranya anda berjiwa lasak, anda boleh menerokai gunung ini untuk menghayati kecantikan flora yang terdapat di sini yang turut kaya dengan khasiat perubatan. Bukan itu sahaja, anda juga akan disajikan dengan pemandangan dan bunyi air terjun dan jeram-jeram yang terdapat sepanjang perjalanan.
Satu pendakian yang memenatkan tapi sangat berbaloi setelah anda melihat pemandangan yang menanti setibanya di puncak gunung. Tak sabar nak mendaki? Tapi tunggu dulu, sebelum anda memulakan pendakian anda, anda perlu mendapatkan permit dan bantuan penunjuk arah terlebih dahulu, jangan ambil risiko mendaki sendiri pula.
Alamat: Gunung Bintang, Perak
19. Taman Tasik Putra Kulim

Lokasi Taman Tasik Putra Kulim ini adalah di tengah-tengah Pusat Bandar Kulim. Taman yang berkeluasan 50 ekar ini juga menempatkan tasik yang berkeluasan 14 ekar. Antara aktiviti yang menyeronokkan yang boleh dilakukan di sini adalah memancing ikan, berkayak, berjogging, bersenam dan banyak lagi.
Kalau anda hanya ingin bersantai, di sini juga terdapat medan selera, bolehlah anda mengisi perut kosong sambil menikmati pemandangan menyegarkan mata di taman tasik ini. Anak-anak kecil pula boleh bermain di taman permainan yang turut disediakan.
Antara kemudahan lain yang disediakan di Taman Tasik Putra Kulim ini adalah dataran aerobik, peralatan senaman outdoor, padang dan tandas awam. Lokasi yang tepat untuk mengadakan hari keluarga!
Alamat: Taman Tasik Putra Kulim, Kampung Chabang Tiga, 09000 Kulim, Kedah
20. Air Terjun Junjong

Air Terjun Junjong ini terletak 15km dari Kulim. Terkenal dalam kalangan penduduk tempatan terutamanya pada hujung minggu. Kalau anda inginkan privasi, elakkan datang pada waktu-waktu ini.
Di Air Terjun Junjong terdapat kawasan kolam air terjun yang sesuai untuk kanak-kanak tapi bagi anda yang tidak kisah untuk berjalan jauh sedikit dan inginkan cabaran, anda akan menemui air terjun yang lebih besar, di sini anda pasti puas punyalah bermandi-manda.
Alamat: Air Terjun Junjong, Kulim, Kedah
21. Taman Kulim Hi-Tech

Hanyalah 8 km sahaja dari Bandar Kulim, Taman Kulim Hi-Tech ini merupakan satu-satunya di Malaysia. Ia didirikan sebagai salah satu strategi kebangsaan untuk mencapai Visi 2020 iaitu menjadikan Malaysia sebagai negara maju. Di sinilah terkumpulnya banyak syarikat-syarikat berteknologi tinggi seperti Intel, First Solar, Fuji Electronics dan Infineon.
Walaupun menjadikan teknologi sebagai faktor utama penubuhan taman berkeluasan 4510 ekar ini, kehijauan flora turut diberikan perhatian di sekitar taman ini.
Antara kemudahan yang tersedia adalah ruang pejalan kaki, bangku, taman permainan kanak-kanak dan pondok rehat.
Alamat: Taman Kulim Hi-tech, Kulim, Kedah
22. Langkawi

Pernah dengar tentang Lagenda Mahsuri? Di Langkawilah asalnya kisah tragis ini. Kisah dimana seorang wanita dibunuh kerana difitnah oleh kakak iparnya sendiri, namun setelah dibunuh, darah yang keluar adalah berwarna putih yang menandakan bahawa Mahsuri tidak bersalah. Benar atau tidak, tidaklah dapat dipastikan.
Mari kita bercerita pula tentang Pulau Langkawi ini yang juga merupakan pulau bebas cukai, bagi yang kaki shopping, tunggu apa lagi?
Bukan itu sahaja yang menarik tentang pulau ini kerana anda juga dapat melihat burung helang yang terbang bebas di pulau ini. Bukan senang nak jumpa kan? Selain itu, anda sekeluarga pasti teruja melihat ketenangan kawasan perkampungan dan sawah padi yang terdapat di sekitar pulau ini.
Apa lagi yang menarik untuk dibuat di sini? Anda boleh menaiki kabel ke puncak Gunung Mat Cincang, dan menaiki bot melalui kawasan paya bakau. Pasti menjadi satu pengalaman yang sukar dilupakan.
Alamat: Langkawi, 07000 Langkawi, Kedah
No comments:
Post a Comment